Return   Facebook   Zip File

Arabic

1

WAHAI PUTERA ROH!

Nasihat-Ku yang pertama adalah ini: Milikilah hati yang murni, baik dan cemerlang, agar kedaulatan yang purba, kekal dan abadi menjadi milikmu.

2

WAHAI PUTERA ROH!

Dalam pandangan-Ku perkara yang teramat Aku cintai adalah Keadilan; janganlah berpaling daripadanya jika engkau menginginkan Daku, dan janganlah mengabaikannya agar Aku dapat berhubung denganmu. Dengan bantuannya engkau akan melihat dengan matamu sendiri dan bukan dengan mata orang lain, dan engkau akan mengetahui melalui pengetahuanmu sendiri dan bukan melalui pengetahuan tetanggamu. Renungkanlah hal ini di dalam hatimu; bagaimana engkau seharusnya berkelakuan. Sesungguhnya keadilan adalah anugerah-Ku kepadamu dan tanda kebaikan kasih-Ku. Maka tetapkanlahnya di hadapan matamu.

3

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Diselubungi dalam wujud-Ku yang kekal dan dalam keabadian purba inti-Ku, Aku mengetahui kasih-Ku kepadamu; oleh sebab itu Aku telah menciptakanmu, telah mengukirkan pada dirimu citra-Ku dan menjelmakan kepadamu keindahan-Ku.

4

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Aku mencintai kewujudanmu, maka Aku menciptakanmu. Sebab itu, cintailah Aku, supaya Aku dapat menyebut namamu dan mengisi jiwamu dengan roh kehidupan.

5

WAHAI PUTERA WUJUD!

Cintailah Aku, agar Aku dapat mencintaimu. Jika engkau tidak mencintai-Ku, cinta-Ku tidak akan dapat sampai kepadamu. Ketahuilah hal ini, Wahai hamba!

6

WAHAI PUTERA WUJUD!

Syurgamu adalah cinta-Ku; kediaman syurgawimu, pertemuan semula dengan-Ku. Masuklah ke dalamnya dan janganlah berlengah. Inilah apa yang telah ditakdirkan bagimu dalam kerajaan Kami di syurga dan kedaulatan Kami yang tinggi.

7

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Jika engkau mencintai-Ku, berpalinglah daripada dirimu sendiri; dan jika engkau mencari kesenangan-Ku, janganlah memikirkan kesenanganmu sendiri; agar engkau dapat mati dalam diri-Ku dan Aku dapat hidup selama-lamanya dalam dirimu.

8

WAHAI PUTERA ROH!

Tidak ada ketenangan bagimu selain meninggalkan dirimu sendiri dan berpaling kepada-Ku; kerana adalah kewajipanmu untuk memuliakan nama-Ku, bukannya namamu sendiri; untuk meletakkan kepercayaanmu kepada-Ku dan bukannya kepada dirimu sendiri, kerana Aku menginginkan diri-Ku seorang saja yang dicintai di atas segala benda.

9

WAHAI PUTERA WUJUD!

Cinta-Ku adalah benteng-Ku; barangsiapa yang memasukinya akan selamat dan terlindung, dan barangsiapa yang berpaling daripadanya nescaya akan sesat dan musnah.

10

WAHAI PUTERA UCAPAN!

Engkau adalah benteng-Ku, masuklah ke dalamnya agar engkau dapat tinggal dengan selamat. Cinta-Ku ada dalam dirimu, ketahuilahnya, agar engkau dapat menemui-Ku dekat kepadamu.

11

WAHAI PUTERA WUJUD!

Engkau adalah pelita-Ku dan cahaya-Ku berada dalam dirimu. Peroleh darinya kecemerlanganmu dan jangan mencari sesiapa pun selain Daku. Kerana Aku telah menciptakanmu kaya dan telah mengurniakan kepada dirimu pertolongan-Ku yang melimpah-ruah.

12

WAHAI PUTERA WUJUD!

Dengan tangan kekuasaan Aku telah menjadikanmu dan dengan jari kekuatan Aku telah menciptakanmu; dan Aku telah meletakkan inti cahaya-Ku dalam dirimu. Berpuaslah engkau dengannya dan janganlah mencari yang lain, kerana karya-Ku adalah sempurna dan perintah-Ku adalah mengikat. Janganlah mempersoalkannya, mahupun meraguinya.

13

WAHAI PUTERA ROH!

Aku menciptakanmu kaya, mengapakah engkau menjadikan dirimu miskin? Aku menjadikanmu mulia, mengapakah engkau menghina dirimu? Aku memberikan kewujudan kepadamu daripada inti pengetahuan, mengapakah engkau mencari penjelasan daripada sesiapa selain Daku? Aku membentukmu daripada tanah liat cinta, bagaimanakah engkau menyibukkan dirimu dengan orang lain? Hadapkanlah pandanganmu kepada dirimu sendiri, agar engkau dapat menemui Aku dalam dirimu, gagah, berkuasa dan berdiri sendiri.

14

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Engkau adalah kekuasaan-Ku dan kekuasaan-Ku tidak akan musnah, mengapakah engkau takut kepada kemusnahanmu? Engkau adalah cahaya-Ku dan cahaya-Ku tidak akan pernah dipadamkan, mengapakah engkau bimbang akan pemadaman? Engkau adalah kemuliaan-Ku dan kemuliaan-Ku tidak akan pudar; engkau adalah jubah-Ku dan jubah-Ku tidak akan pernah jadi usang. Maka menetaplah dalam cintamu kepada-Ku, agar engkau dapat menemui-Ku dalam alam kemuliaan.

15

WAHAI PUTERA UCAPAN!

Hadapkanlah wajahmu kepada wajah-Ku dan tinggalkanlah semua selain Daku, kerana kedaulatan-Ku kekal abadi dan kekuasaan-Ku tidak akan musnah. Jika engkau mencari yang lain melainkan Daku, ya, jika engkau mencari alam semesta untuk selama-lamanya, pencarianmu itu akan sia-sia belaka.

16

WAHAI PUTERA CAHAYA!

Lupakanlah semua kecuali Aku dan berhubunglah dengan roh-Ku. Inilah hakikat perintah-Ku, oleh itu patuhlah kepadanya.

17

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Berpuaslah engkau dengan Daku dan janganlah mencari penolong yang lain. Kerana tiada yang lain selain Daku akan dapat mencukupimu.

18

WAHAI PUTERA ROH!

Janganlah meminta daripada-Ku apa yang tidak Kami inginkan bagimu, lalu berpuaslah dengan apa yang telah Kami takdirkan bagi dirimu, kerana inilah yang akan menguntungkanmu, jikalau dengannya engkau berasa puas.

19

WAHAI PUTERA PENGLIHATAN TAKJUB!

Aku telah menghembuskan ke dalam dirimu hembusan Roh-Ku sendiri, agar engkau akan menjadi pencinta-Ku. Mengapakah engkau telah meninggalkan Daku dan mencari seorang kekasih lain selain Daku?

20

WAHAI PUTERA WUJUD!

Tuntutan-Ku ke atas dirimu besar, dan ianya tidak dapat dilupakan. Rahmat-Ku kepadamu berlimpah-limpah, dan ianya tak dapat diselubungi. Kasih-Ku berada dalam dirimu, dan ianya tidak dapat disembunyikan. Cahaya-Ku tampil di hadapanmu, dan ianya tidak dapat ditutupi.

21

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Pada pohon kemuliaan yang cemerlang, Aku telah menggantungkan bagimu buah-buahan yang terbaik, mengapakah engkau telah berpaling daripadanya dan berpuas dengan apa yang kurang baik? Maka kembalilah kepada apa yang lebih baik bagimu di alam yang tinggi.

22

WAHAI PUTERA ROH!

Aku telah menciptakan engkau mulia, namun engkau telah mengaibkan dirimu sendiri. Maka naiklah ke kedudukan yang ditakdirkan bagi kewujudanmu.

23

WAHAI PUTERA DIA YANG TERAGUNG!

Aku mengundangmu kepada keabadian, namun engkau mencari apa yang fana. Apakah yang telah menyebabkan engkau berpaling daripada hasrat Kami dan mencari hasratmu sendiri?

24

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah melanggar batas-batasmu, mahupun menuntut apa yang tidak layak bagimu. Bersujudlah di hadapan wajah Tuhanmu, Tuhan kekuatan dan kekuasaan.

25

WAHAI PUTERA ROH!

Janganlah bermegah-megah di hadapan yang miskin, kerana Aku membimbinginya dalam jalannya dan sementara Aku melihatmu dalam keadaan jahatmu dan melaknatimu untuk selama-lamanya.

26

WAHAI PUTERA WUJUD!

Bagaimanakah engkau dapat melupakan kesalahan-kesalahanmu sendiri dan menyibukkan dirimu dengan kesalahan-kesalahan orang lain? Barangsiapa yang berbuat demikian akan Daku kutuk.

27

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah menyebut dosa-dosa orang lain selama engkau sendiri seorang yang berdosa. Jika engkau melanggar perintah ini, terkutuklah engkau, dan kepada hal ini Aku naik saksi.

28

WAHAI PUTERA ROH!

Ketahuilah kebenaran ini: Barangsiapa yang menyuruh orang lain untuk bersikap adil, sedangkan dia sendiri berbuat tidak adil bukanlah umat-Ku, meskipun dia menggunakan nama-Ku.

29

WAHAI PUTERA WUJUD!

Janganlah menyifatkan kepada sesiapa apa yang engkau tidak ingin disifatkan pada dirimu sendiri, dan janganlah mengatakan sesuatu yang engkau tidak akan lakukan. Inilah perintah-Ku kepadamu, maka laksanakanlah.

30

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah menafikan hamba-Ku jikalau dia meminta sesuatu daripadamu, kerana wajahnya adalah wajah-Ku; maka berasa malulah di hadapan-Ku.

31

WAHAI PUTERA WUJUD!

Perhitungkanlah dirimu setiap hari sebelum engkau dipanggil untuk memberi perkiraan; kerana kematian, tidak dijangka, akan menimpa dirimu dan engkau akan dipanggil untuk memberi perhitungan bagi perbuatan-perbuatanmu.

32

WAHAI PUTERA DIA YANG TERAGUNG!

Aku telah menjadikan kematian sebagai pengutus keriangan bagimu. Mengapakah engkau berduka? Aku menjadikan cahaya menyinarkan kecemerlangannya kepadamu. Mengapakah engkau menutupi dirimu daripadanya?

33

WAHAI PUTERA ROH!

Dengan khabar gembira yang bercahaya Aku menyerumu: Bergembiralah! Aku telah memanggilmu ke istana kesucian; tinggallah dalamnya agar engkau dapat hidup dalam keamanan selama-lamanya.

34

WAHAI PUTERA ROH!

Roh suci telah mewartakan kepadamu khabar gembira pertemuan semula; mengapakah engkau berduka? Roh kekuasaan telah menguatkan dirimu dalam Akidah-Nya; mengapakah engkau menutupi dirimu? Cahaya wajah-Nya telah membimbing dirimu; bagaimanakah engkau boleh tersesat?

35

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah bersedih melainkan engkau jauh daripada Kami. Janganlah bergembira melainkan engkau sedang mendekati dan kembali kepada Kami.

36

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Bergembiralah dalam keriangan hatimu, agar engkau menjadi layak untuk berjumpa dengan-Ku dan untuk mencerminkan keindahan-Ku.

37

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah engkau menanggalkan jubah-Ku yang indah, dan janganlah kehilangan bahagianmu daripada mata air-Ku yang menakjubkan, agar engkau tidak berasa dahaga selama-lamanya.

38

WAHAI PUTERA WUJUD!

Berjalanlah dalam undang-undang-Ku demi kasih kepada-Ku dan menidakkan dirimu apa yang engkau inginkan jika engkau menghasratkan keredaan-Ku.

39

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Janganlah mengabaikan perintah-perintah-Ku jika engkau mencintai keindahan-Ku, dan janganlah melupakan nasihat-nasihat-Ku jika engkau hendak mencapai keredaan-Ku.

40

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Seandainya engkau pantas menjelajahi angkasa yang maha luas dan melintasi syurga yang terbentang, engkau tetap tidak akan memperolehi ketenteraman melainkan tunduk kepada perintah Kami dan merendah diri di hadapan Wajah Kami.

41

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Agungkanlah akidah-Ku agar Aku dapat menjelmakan kepadamu misteri-misteri keagungan-Ku dan menyinarimu dengan cahaya keabadian.

42

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Rendahkanlah dirimu di hadapan-Ku, agar dengan belas kasihan Daku dapat mengunjungimu. Bangkitlah bagi kemenangan akidah-Ku, agar selama masih di dunia, engkau memperoleh kemenangan.

43

WAHAI PUTERA WUJUD!

Sebutlah Aku di bumi-Ku, supaya di syurga-Ku Aku dapat mengingatimu, demikianlah mata diri-Ku dan dirimu akan dihiburkan.

44

WAHAI PUTERA TAKHTA!

Pendengaranmu adalah pendengaran-Ku, engkau dengarlah dengannya. Penglihatanmu adalah penglihatan-Ku, engkau lihatlah dengannya, supaya dalam jiwamu yang terdalam engkau akan naik saksi kepada kesucian-Ku yang luhur, dan Aku akan dalam Diri-Ku Sendiri naik saksi kepada suatu kedudukan yang luhur bagimu.

45

WAHAI PUTERA WUJUD!

Perolehilah kesyahidan dalam jalan-Ku, berpuaslah dengan keredaan-Ku dan bersyukurlah dengan apa yang telah Aku takdirkan, agar engkau dapat beristirehat dengan Daku di bawah sudur keagungan di sebalik khemah kemuliaan.

46

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Fikirkanlah dan renungkanlah. Adakah hasratmu untuk mati di atas katilmu, atau untuk menumpahkan darah hidupmu di atas debu, sebagai seorang syahid di jalan-Ku, dan demikian menjadi penjelmaan perintah-Ku dan perwujudan cahaya-Ku di syurga yang tertinggi? Pertimbangkanlah engkau dengan adil, Wahai hamba!

47

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Demi keindahan-Ku! Mewarnai rambutmu dengan darahmu adalah lebih berharga di mata-Ku daripada penciptaan alam semesta dan cahaya dari kedua-dua alam. Maka berusahalah untuk mencapainya, Wahai hamba!

48

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Dalam segala sesuatu ada tandanya. Tanda kasih adalah keteguhan hati bawah perintah-Ku dan kesabaran bawah cubaan-cubaan-Ku.

49

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Kekasih sejati merindukan kesengsaraan sepertimana keadaan pemberontak merindukan pengampunan dan pendosa merindukan belas kasihan.

50

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Jikalau kesengsaraan tidak menimpa dirimu di jalan-Ku, bagaimanakah engkau dapat berjalan di jalan mereka yang berpuas dengan keredaan-Ku? Jikalau cubaan-cubaan tidak menimpa dirimu dalam kerinduanmu untuk bertemu dengan-Ku, bagaimanakah engkau akan mencapai cahaya dalam cintamu kepada keindahan-Ku?

51

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Bencana-Ku adalah kurnia-Ku, pada luaran ia adalah api dan dendam, tetapi pada batinnya ia adalah cahaya dan belas kasihan. Bersegeralah kepadanya agar engkau dapat menjadi cahaya yang abadi dan roh yang kekal. Inilah perintah-Ku kepadamu, maka patuhilahnya!

52

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Jikalau kemakmuran datang kepadamu, janganlah bergembira, dan jikalau penghinaan menimpa dirimu, janganlah berduka, kerana kedua-duanya akan berlalu dan tidak ada lagi.

53

WAHAI PUTERA WUJUD!

Jikalau kemiskinan menimpa dirimu, janganlah bersedih hati; kerana lambat-laun Raja kekayaan akan mengunjungimu. Janganlah takut akan penghinaan, kerana kemuliaan kelak akan datang kepadamu.

54

WAHAI PUTERA WUJUD!

Jikalau hatimu menginginkan kedaulatan yang kekal dan tak termusnah ini, serta kehidupan yang purba dan abadi ini, maka tinggalkanlah kedaulatan yang fana dan sepintas lalu ini.

55

WAHAI PUTERA WUJUD!

Janganlah menyibukkan dirimu dengan dunia ini, kerana dengan api Kami menguji emas, dan dengan emas Kami menguji hamba-hamba Kami.

56

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Engkau menginginkan emas dan Aku menginginkan kebebasanmu daripadanya. Engkau menganggap dirimu kaya jika memilikinya, dan Aku mengenal kekayaanmu dengan menyucikan diri daripadanya. Demi hidup-Ku! Inilah ilmu-Ku, dan itulah khayalanmu; bagaimanakah cara-Ku dapat bersesuaian dengan caramu?

57

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Kurniakanlah kekayaan-Ku kepada umat-Ku yang miskin, moga dalam syurga engkau dapat mengambil daripada himpunan kecemerlangan yang tidak pudar dan khazanah kemuliaan yang kekal. Tetapi demi hidup-Ku! Mengorbankan jiwamu adalah tindakan yang lebih mulia seandainya engkau dapat melihat dengan mata-Ku.

58

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Tubuh kewujudan adalah takhta-Ku; bersihkannya daripada segala sesuatu, supaya di sanalah Aku ditempatkan dan di sanalah Aku akan menetap.

59

WAHAI PUTERA WUJUD!

Kalbumu adalah kediaman-Ku; sucikanlah agar Aku dapat turun ke dalamnya. Rohmu adalah tempat revelasi-Ku; bersihkanlah bagi penjelmaan-Ku.

60

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Letakkanlah tanganmu ke dalam dada-Ku, agar Aku dapat terbit dengan terang dan cemerlang di atas dirimu.

61

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Naiklah ke syurga-Ku, agar engkau dapat memperoleh keriangan pertemuan kembali, dan daripada cawan kemuliaan abadi minumlah wain yang tiada taranya.

62

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Hari demi hari telah berlalu depan dirimu sedangkan engkau menyibukkan dirimu dengan khayalan-khayalan dan angan-angan kosong. Berapa lamakah engkau ingin tidur di atas katilmu? Angkatlah kepalamu daripada tidur, kerana Suria telah naik ke puncak, semoga ia dapat menyinarimu dengan cahaya keindahan.

63

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Cahaya telah menyinarimu dari ufuk Gunung suci dan roh kesedaran telah menghembus di Sinai kalbumu. Dengan demikian, bebaskanlah dirimu daripada tabir-tabir khayalan sia-sia dan masuklah ke dalam istana-Ku, agar engkau layak bagi kehidupan abadi dan patut untuk bertemu dengan-Ku. Maka semoga kematian tidak mencarimu, mahupun keletihan atau masalah.

64

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Keabadian-Ku adalah ciptaan-Ku, Aku telah menciptakannya bagimu. Jadikannya pakaian tubuhmu. Keesaan-Ku adalah karya-Ku; Aku telah membuatnya bagimu; hiasilah dirimu dengannya, agar engkau dapat menjadi penjelmaan kewujudan abadi-Ku untuk selama-lamanya.

65

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Keagungan-Ku adalah kurnia-Ku kepadamu, dan keluhuran-Ku adalah tanda rahmat-Ku kepadamu. Apa yang layak bagi-Ku tiada seorangpun yang mengerti, dan tiada seorangpun yang dapat menceritakannya. Sesungguhnya, Aku telah menyimpankannya dalam gudang-gudang-Ku yang tersembunyi dan dalam khazanah perintah-Ku, sebagai satu tanda kasih-sayang-Ku kepada hamba-hamba-Ku dan rahmat-Ku kepada umat-Ku.

66

WAHAI ANAK-ANAK INTI TUHAN DAN GHAIB!

Engkau akan dihalang daripada mencintai-Ku dan jiwa-jiwa akan runsing apabila mereka menyebut Aku. Kerana minda tidak dapat memahami-Ku mahupun kalbu mewadahi Aku.

67

WAHAI PUTERA KEINDAHAN!

Demi roh-Ku dan kurnia-Ku! Demi rahmat-Ku dan demi keindahan-Ku! Segala yang telah diturunkan kepadamu dengan lidah kekuasaan, dan telah dituliskan bagimu dengan pena kekuatan, adalah selaras dengan keupayaan dan pemahamanmu, bukan selaras dengan kedudukan-Ku dan melodi suara-Ku.

68

WAHAI ANAK-ANAK MANUSIA!

Tidakkah engkau mengetahui mengapa Kami telah menciptakan engkau semua daripada debu yang sama? Supaya tiada seorangpun akan meninggikan dirinya di atas orang lain. Renungkanlah selalu dalam hatimu bagaimana engkau telah diciptakan. Kerana Kami telah menciptakan engkau semua daripada zat yang sama maka diwajibkan bagi engkau untuk menjadi laksana satu jiwa, berjalan dengan kaki yang sama, makan dengan mulut yang sama dan hidup dalam bumi yang sama, agar dari kewujudanmu yang terdalam, melalui perlakuan dan tindakanmu, akan menjelmakan tanda-tanda kesatuan dan inti ketakterikatan. Demikianlah nasihat-Ku kepadamu, Wahai angkatan cahaya! Dengarkanlah nasihat ini supaya engkau akan memperoleh buah-buahan kesucian dari pohon kemuliaan yang menakjubkan.

69

WAHAI ENGKAU PUTERA-PUTERA ROH!

Engkau adalah khazanah-Ku, kerana dalam dirimu telah Aku simpan mutiara-mutiara misteri-Ku dan permata-permata ilmu-Ku. Lindunginya daripada orang-orang asing di kalangan hamba-Ku dan daripada orang-orang yang tidak beriman di kalangan umat-Ku.

70

WAHAI PUTERA DIA YANG MEMPERTAHANKAN DIRINYA DALAM KERAJAAN KEAKUANNYA!

Ketahuilah engkau, bahawa Aku telah menghembuskan kepada dirimu semua keharuman kesucian, telah menurunkan kepadamu semua sabda-Ku, telah menyempurnakan melalui dirimu berkat-Ku dan telah menghasratkan bagimu apa yang Aku telah hasratkan bagi Diri-Ku Sendiri. Maka berpuaslah dengan keredaan-Ku dan bersyukurlah kepada-Ku.

71

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Tuliskan semua yang telah Kami turunkan kepadamu dengan tinta cahaya di atas loh jiwamu. Seandainya engkau tidak berdaya melakukannya, maka buatlah tintamu daripada inti hatimu. Jika ini pun engkau tidak dapat lakukan, maka tuliskanlah dengan tinta merah yang telah ditumpahkan di jalan-Ku. Sesungguhnya inilah lebih manis bagi-Ku daripada segala sesuatu, sehingga cahayanya dapat bernyala untuk selama-lamanya.

Persian

1

WAHAI ORANG-ORANG YANG MEMILIKI AKAL UNTUK MENGETAHUI DAN TELINGA UNTUK MENDENGAR!

Seruan pertama Sang Kekasih adalah ini: Wahai burung bul-bul yang ghaib! Janganlah menetap melainkan di dalam taman bunga mawar roh. Wahai pengutus Sulaiman kasih sayang! Janganlah mencari perlindungan melainkan dalam Sheba yang amat dikasihi, dan Wahai garuda yang abadi! Janganlah menetap melainkan pada gunung keimanan. Di sanalah kediamanmu, jikalau dengan sayap-sayap rohmu engkau terbang ke alam yang tak terbatas dan berusaha mencapai matlamatmu.

2

WAHAI PUTERA ROH!

Burung mencari sarangnya; burung bul-bul mencari keindahan bunga mawar; sedangkan burung-burung itu, iaitu kalbu-kalbu manusia, yang berpuas dengan debu yang fana, telah jauh tersesat daripada sarang keabadiannya, dan dengan mata yang memandang pada rawa ketidakendahan telah kehilangan kemuliaan kehadiran ketuhanan. Sayang sekali! Alangkah aneh dan menyedihkan; hanya demi secawan, mereka telah berpaling daripada lautan bergelora Yang Maha Tinggi, dan tetap jauh daripada ufuk yang paling cemerlang.

3

WAHAI SAHABAT!

Di taman hatimu janganlah menanam apa pun kecuali bunga mawar kasih sayang, dan janganlah melepaskan peganganmu daripada burung bul-bul cinta dan hasrat. Hargailah persahabatan orang yang salih dan hindarkanlah segala hubungan dengan orang yang tidak beriman.

4

WAHAI PUTERA KEADILAN!

Ke manakah seorang pencinta dapat pergi melainkan tanah kekasihnya? Dan pencari manakah yang dapat berehat apabila jauh daripada hasrat hatinya? Bagi kekasih sejati pertemuan semula bagaikan kehidupan, dan perpisahan bagaikan kematian. Dadanya tidak mempunyai kesabaran dan hatinya tidak tenteram. Berjuta-juta kehidupan sanggup dia tinggalkan agar dapat bersegera ke kediaman kekasihnya.

5

WAHAI PUTERA DEBU!

Sesungguhnya Aku mengatakan kepadamu: Antara semua manusia, orang yang paling lalai adalah dia yang berdebat dengan sia-sia dan berhasrat untuk memajukan diri mengatasi saudaranya. Katakanlah, Wahai saudara! Biarlah perlakuan, bukan kata-kata yang menjadi perhiasanmu.

6

WAHAI PUTERA BUMI!

Sesungguhnya, ketahuilah kalbu yang mempunyai walau sedikit sahaja rasa iri hati, tidak akan pernah mencapai kedaulatan abadi-Ku, mahupun menghirup keharuman manis kesucian yang dihembuskan dari kerajaan kesucian-Ku.

7

WAHAI PUTERA KASIH!

Engkau berada satu langkah sahaja daripada ketinggian yang mulia dan daripada pohon cinta syurgawi. Ambillah satu langkah dan dengan langkah yang seterusnya majulah ke dalam alam baka dan masuklah ke khemah keabadian. Maka dengarkanlah apa yang telah dituliskan oleh pena kemuliaan.

8

WAHAI PUTERA KEMULIAAN!

Bergeraklah dengan pantas di jalan kesucian, dan masukilah syurga perhubungan dengan-Ku. Bersihkanlah kalbumu dengan kegilapan roh, dan bersegeralah ke istana Yang Maha Tinggi.

9

WAHAI BAYANGAN YANG FANA!

Lintasilah semua tahap-tahap hina keraguan dan naiklah ke ketinggian luhur keyakinan. Bukalah mata kebenaran, agar engkau dapat melihat Keindahan yang tak tertutup dan berkata: Maha Sucilah Tuhan, yang paling cemerlang antara semua pencipta!

10

WAHAI PUTERA HAWA NAFSU!

Dengarkanlah ini: Tidak akan pernah mata fana mengenali keindahan abadi, tidak pula kalbu yang tidak bernyawa menggemari sesuatu kecuali kuntum yang layu. Kerana pencari serupa akan tertarik kepada yang menyerupainya, dan mencari kesenangan dalam golongan sejenisnya.

11

WAHAI PUTERA DEBU!

Butakanlah matamu, agar engkau dapat melihat keindahan-Ku; tutuplah telingamu agar engkau dapat mendengar melodi merdu suara-Ku; kosongkanlah dirimu daripada semua ilmu agar engkau dapat menikmati ilmu-Ku; dan sucikanlah dirimu daripada semua kekayaan, agar engkau dapat memperoleh satu bahagian yang kekal daripada samudera kekayaan-Ku yang abadi. Maksudnya, butakanlah matamu kepada semua kecuali keindahan-Ku; tutuplah telingamu kepada semua kecuali sabda-Ku; kosongkanlah dirimu daripada semua ilmu kecuali ilmu tentang diri-Ku; agar dengan penglihatan yang jelas, hati yang murni dan telinga yang memberi perhatian engkau dapat memasuki istana kesucian-Ku.

12

WAHAI MANUSIA YANG ADA DUA PENGLIHATAN!

Tutuplah satu mata dan bukalah yang lain. Tutuplah satu kepada dunia dan segala yang ada di dalamnya, dan bukalah yang lain kepada keindahan suci Sang Kekasih.

13

WAHAI ANAK-ANAKKU!

Aku khuatir sekiranya, tanpa melodi merpati syurga, engkau akan tenggelam jauh ke dalam bayangan kesesatan mutlak, dan, tidak akan pernah dapat melihat keindahan bunga mawar, kemudian kembali ke air dan tanah.

14

WAHAI PARA SAHABAT!

Janganlah meninggalkan keindahan yang abadi demi suatu keindahan yang harus mati, dan janganlah menaruh cinta pada dunia debu yang fana ini.

15

WAHAI PUTERA ROH!

Waktu telah tiba, ketika burung bul-bul kesucian tidak akan lagi membongkarkan misteri terdalam dan engkau semua akan kehilangan melodi syurgawi dan suara dari alam yang tinggi.

16

WAHAI INTI KELALAIAN!

Berjuta-juta lidah ghaib bertutur dalam satu ucapan, dan berjuta-juta misteri tersembunyi telah didedahkan dalam satu melodi; tetapi sayang sekali, tiada telinga yang mendengar, mahupun hati yang mengerti.

17

WAHAI RAKAN-RAKAN!

Pintu-pintu gerbang di Alam Ghaib sedang terbuka luas dan kediaman mereka yang dikasihi dihiasi dengan darah para kekasih, namun semua tetap kehilangan kota syurgawi ini kecuali sebilangan kecil, dan bahkan dengan bilangan kecil ini pun, tiada yang ditemui memiliki hati yang murni dan roh yang suci.

18

WAHAI ENGKAU PENGHUNI SYURGA YANG TERTINGGI!

Umumkanlah pada anak-anak keyakinan bahawa di alam-alam kesucian, berdekatan dengan firdaus syurgawi, satu taman baharu telah muncul, yang dikelilingi para penghuni dari alam tinggi dan penduduk-penduduk baka dari firdaus yang luhur. Maka, berusahalah agar engkau dapat mencapai kedudukan itu, agar engkau dapat membongkarkan misteri-misteri cinta dari bunga-bunga liarnya dan mempelajari rahsia ketuhanan dan kearifan sempurna daripada buah-buahan abadinya. Terhiburlah mata mereka yang memasuki dan menetap di dalamnya.

19

WAHAI PARA SAHABATKU!

Sudahkah engkau lupa pada pagi yang sejati dan cemerlang, ketika berada dalam persekitaran yang suci dan diberkati itu, engkau semua telah berkumpul di hadirat-Ku di bawah naungan pohon kehidupan, yang telah ditanam di syurga yang teragung? Dengan kekaguman engkau telah mendengar ketika Aku mengucapkan tiga kalimat yang suci ini: Wahai para sahabat! Janganlah mengutamakan kehendakmu daripada kehendak-Ku, janganlah menghasratkan apa yang Aku tidak pernah hasratkan bagimu, dan janganlah mendekati-Ku dengan hati yang mati, yang dinodai dengan keinginan dan nafsu duniawi. Seandainya engkau menyucikan rohmu, pada saat ini engkau akan mengingati tempat itu dan persekitaran tersebut, dan kebenaran ucapan-Ku akan menjadi jelas kepada semua.

20

Dalam ayat-ayat suci yang kelapan, dalam Loh Syurgawi yang kelima, Dia bersabda:

WAHAI ENGKAU YANG TERBARING BAGAIKAN MATI DI ATAS KERUSI KETIDAKENDAHAN!

Berabad-abad telah berlalu dan kehidupanmu yang bernilai kini hampir berakhir, namun tiada sehembus nafas kesucianpun daripadamu telah mencapai istana kesucian. Meskipun engkau tenggelam dalam samudera kesesatan, namun dengan bibirmu engkau mengakui akidah sejati Tuhan yang satu. Engkau telah mencintai dia yang Aku benci, dan engkau telah bersahabat dengan musuh-Ku. Meskipun demikian, engkau berjalan di bumi-Ku berpuas hati dan berbangga diri, tidak mengendahkan bahawa bumi-Ku sudah bosan dengan dirimu dan semua benda di dalamnya telah menjauhkan diri darimu. Seandainya engkau membuka matamu, engkau sesungguhnya akan menginginkan berjuta-juta kesedihan daripada keseronokan ini, dan akan menganggap bahawa kematian adalah lebih baik daripada kehidupan ini.

21

WAHAI HIMPUNAN DEBU YANG BERGERAK!

Aku menginginkan perhubungan denganmu, namun engkau tidak menaruh kepercayaan kepada-Ku. Pedang pemberontakanmu telah menebang pohon harapanmu. Aku berada dekat kepadamu setiap masa, tetapi engkau sentiasa berada jauh dari diri-Ku. Kemuliaan yang kekal telah Aku pilih bagimu, namun engkau telah memilih penghinaan tak terbatas bagi dirimu sendiri. Selagi masih mempunyai masa, kembalilah, dan janganlah kehilangan peluangmu.

22

WAHAI PUTERA NAFSU!

Mereka yang terpelajar dan arif telah bertahun lamanya berusaha bersungguh-sungguh dan telah gagal mencapai hadirat Yang Maha Mulia; mereka telah menghabiskan hidup mereka dalam pencarian-Nya, namun masih tidak melihat keindahan wajah-Nya. Engkau pula tanpa sedikitpun usaha telah mencapai matlamatmu, dan tanpa pencarian telah memperoleh tujuan pencarianmu. Namun demikian, engkau tetap begitu terselubung dalam tabir keakuanmu, sehingga matamu tidak melihat keindahan Sang Kekasih, mahupun tanganmu menyentuh kelim jubah-Nya. Engkau yang mempunyai mata, lihat dan berasa takjublah.

23

WAHAI PARA PENGHUNI KOTA CINTA!

Tiupan maut telah menyerang lilin abadi, dan keindahan Pemuda syurgawi telah diselubungi dalam kegelapan debu. Ketua kepada raja-raja cinta telah dipersalahkan oleh orang-orang yang zalim dan merpati kesucian telah terpenjara di dalam cakar burung-burung hantu. Para penghuni dalam khemah kemuliaan dan angkatan syurgawi meratap dan menangis, sedangkan engkau berehat di alam kelalaian, dan menganggap dirimu sebagai sahabat-sahabat sejati. Alangkah sia-sia khayalan-khayalanmu!

24

WAHAI ENGKAU YANG BODOH, TETAPI MENGANGGAP DIRI BIJAKSANA!

Mengapakah engkau memakai samaran sebagai gembala-gembala, sedangkan pada hakikatnya engkau telah menjadi serigala, yang berniat buruk terhadap umat-Ku? Engkau seperti bintang, yang terbit sebelum fajar, dan yang meskipun tampak cemerlang dan berkilauan, telah membimbing para pengembara kota-Ku tersesat jauh ke jalan kebinasaan.

25

WAHAI ENGKAU YANG KELIHATAN ADIL NAMUN SECARA BATINNYA KEJI!

Engkau laksana air yang jernih tetapi pahit, yang secara luaran dilihat tulen bagaikan kristal tetapi di dalamnya, jikalau diuji oleh Penguji ketuhanan, tidak setitis pun diterima. Ya, sinar matahari yang sama jatuh pada debu dan cermin, namun pantulannya berbeza bahkan seperti bintang dari bumi: bukan begitu sahaja, perbezaannya adalah tidak terkira!

26

WAHAI SAHABATKU DALAM KATA!

Renungkanlah sejenak. Pernahkah engkau mendengar bahawa sahabat dan musuh harus tinggal dalam satu hati? Maka usirlah orang asing itu, agar Sahabat ini dapat memasuki kediaman-Nya.

27

WAHAI PUTERA DEBU!

Segala yang ada di syurga dan bumi telah Aku kurniakan bagimu, kecuali kalbu manusia, yang telah Aku jadikan kediaman keindahan dan kemuliaan-Ku; namun engkau telah memberikan rumah dan kediaman-Ku kepada orang lain melainkan Daku; dan apabila penjelmaan kesucian-Ku mencari kediaman-Nya sendiri, Dia menemui orang asing di sana, dan, tanpa tempat tinggal, Dia bersegera ke perlindungan Sang Kekasih. Meskipun demikian, Aku telah menyembunyikan rahsiamu dan tidak berhasrat untuk mengaibkan dirimu.

28

WAHAI INTI HAWA NAFSU!

Seringkali pada waktu fajar Aku telah berpaling dari alam-alam Ghaib ke kediamanmu, dan menemui engkau di atas katil kesenanganmu menyibukkan diri dengan orang lain melainkan Daku. Lalu sepantas kilat roh, Aku telah kembali ke alam kemuliaan syurgawi dan tidak menyebutkan hal ini kepada para penghuni kesucian di kediaman-Ku di atas.

29

WAHAI PUTERA KURNIA!

Daripada sisa ketiadaan, dengan tanah liat perintah-Ku Aku telah mewujudkan engkau, dan telah menetapkan bagi pendidikanmu setiap atom yang wujud dan inti segala benda tercipta. Oleh itu, sebelum engkau dilahirkan dari rahim ibumu, Aku telah mentakdirkan bagimu dua pancuran susu yang cemerlang, mata yang mengawasimu, dan hati untuk mencintaimu. Dari kasih sayang-Ku, di bawah naungan rahmat-Ku Aku telah mengasuh engkau, dan menjaga engkau dengan inti kurnia dan anugerah-Ku. Dan tujuan-Ku dalam semua hal ini agar engkau dapat mencapai kerajaan-Ku yang abadi dan menjadi layak bagi pemberian-Ku yang ghaib. Namun begitu engkau masih tetap tidak mengendahkan, dan apabila mencapai kedewasaan, engkau telah mengabaikan kesemua kurnia-Ku dan menyibukkan dirimu dengan khayalan-khayalan sia-siamu, sehinggakan engkau telah melupakan kesemuanya, dan, berpaling daripada pintu-pintu Sahabat ini kemudian menetap di dalam istana musuh-Ku.

30

WAHAI HAMBA IKATAN DUNIA!

Seringkali bayu kasih sayang-Ku telah ditiupkan ke atasmu pada waktu fajar dan menjumpai engkau tidur lena di atas katil ketidakendahanmu. Sambil meratapi keadaanmu ianya telah kembali ke tempat asalnya.

31

WAHAI PUTERA BUMI!

Jika engkau menginginkan Daku, janganlah mencari yang lain kecuali Aku; dan jika engkau ingin memandang keindahan-Ku, tutuplah matamu pada dunia dan segala yang ada di dalamnya; kerana kehendak-Ku dan kehendak yang lain daripada-Ku, bagaikan api dengan air, tidak dapat tinggal bersama-sama di dalam satu kalbu.

32

WAHAI ORANG ASING YANG DIJADIKAN KAWAN!

Lilin hatimu telah dinyalakan oleh tangan kekuasaan-Ku, janganlah memadamkannya dengan angin-angin degil keakuan dan hawa nafsu. Penyembuh segala penyakitmu adalah mengingati-Ku, janganlah melupakannya. Jadikanlah cinta-Ku hartamu dan hargailahnya sepertimana engkau menghargai penglihatan dan kehidupanmu.

33

WAHAI SAUDARAKU!

Dengarkanlah kata-kata nikmat dari lidah madu-Ku, dan minumlah air kesucian ghaib dari bibir-Ku yang sungguh manis. Semaikanlah benih kearifan ketuhanan-Ku di dalam tanah murni kalbumu, dan siramkannya dengan air keyakinan, agar lembayung ilmu dan kearifan-Ku dapat tumbuh dengan segar dan menghijau di dalam kota suci kalbumu.

34

WAHAI PARA PENGHUNI SYURGAKU!

Dengan tangan kasih sayang Aku telah menanam pohon muda cinta dan persahabatanmu di taman syurga yang suci, dan telah menyiramnya dengan curahan jernih rahmat lembut-Ku; kini telah tiba masa ia berbuah, berusahalah agar ianya dilindungi, dan jangan sampai ianya dibinasakan api hawa nafsu dan keberahian.

35

WAHAI SAHABATKU!

Padamkanlah lampu kekhilafanmu, dan nyalakanlah dalam hatimu obor abadi bimbingan ketuhanan. Kerana tidak lama lagi para penguji umat manusia, dalam hadirat suci Yang Dikasihi, hanya akan menerima kebaikan hati yang paling murni dan perlakuan-perlakuan suci yang tak tercemar.

36

WAHAI PUTERA DEBU!

Orang arif adalah mereka yang tidak akan bercakap kecuali apabila menemui pendengar, sepertimana pembawa cawan, yang tidak akan menawarkan cawannya sebelum dia menemui seorang pencari, dan seorang kekasih tidak akan meneriakkan dari lubuk hatinya sebelum dia melihat keindahan kekasihnya. Oleh itu semailah benih-benih kearifan dan ilmu pengetahuan di dalam tanah suci hati, dan biarkannya tersembunyi, sehingga lembayung kearifan ketuhanan dapat tumbuh dari hati dan bukannya dari lumpur dan tanah liat.

37

Yang berikut telah dicatatkan dan dituliskan dalam baris pertama Loh, dan tersembunyi di dalam khemah perlindungan Tuhan:

WAHAI HAMBAKU!

Janganlah meninggalkan kerajaan abadi demi sesuatu yang akan musnah, dan janganlah membuang kedaulatan syurgawi demi hasrat duniawi. Ini adalah sungai kehidupan abadi yang telah mengalir daripada sumber pena belas kasihan; berbahagialah mereka yang meminumnya!

38

WAHAI PUTERA ROH!

Robohkanlah sangkarmu, dan seperti seekor garuda cinta terbanglah ke cakerawala kesucian. Lupakanlah dirimu dan, dipenuhi dengan roh belas kasihan, tinggallah di dalam alam kesucian syurgawi.

39

WAHAI KETURUNAN DEBU!

Janganlah berpuas dengan kesenangan setiap hari yang berlalu, dan janganlah menafikan dirimu daripada istirehat abadi. Janganlah menukarkan taman kegembiraan abadi dengan timbunan debu dari dunia yang fana. Naiklah dari penjara dirimu ke lapangan mulia di atas, dan dari sangkar fana terbanglah ke syurga Alam Ghaib.

40

WAHAI HAMBAKU!

Bebaskanlah dirimu daripada belenggu-belenggu dunia ini, dan lepaskanlah rohmu daripada penjara keakuan. Rebutlah peluangmu, kerana ia tidak akan kembali lagi kepadamu.

41

WAHAI PUTERA DAYANGKU!

Seandainya engkau melihat kerajaan baka, engkau akan berjuang untuk berangkat dari dunia yang fana ini. Tetapi untuk menyembunyikan kerajaan baka daripada engkau dan untuk memperlihatkan dunia fana ini adalah satu misteri yang tiada sesiapapun dapat fahami kecuali mereka yang berhati suci.

42

WAHAI HAMBAKU!

Bersihkanlah kalbumu daripada dendam, dan bebas daripada iri hati, masuklah ke dalam istana kesucian ketuhanan.

43

WAHAI PARA SAHABATKU!

Ikutilah jalan keredaan baik Sahabat, dan ketahuilah bahawa keredaan-Nya adalah dalam kesenangan makhluk-makhluk-Nya. Maksudnya: tiada seorang pun harus memasuki rumah sahabatnya kecuali atas keredaan sahabatnya, mahupun menyentuh harta miliknya ataupun mendahulukan dirinya daripada sahabatnya, dan tidak boleh sesekali mengambil kesempatan ke atas sahabatnya. Renungkanlah hal ini, engkau yang mempunyai pengertian!

44

WAHAI TEMAN TAKHTAKU!

Janganlah mendengar hal-hal jahat, dan janganlah melihat kejahatan, janganlah mengaibkan dirimu sendiri, jangan pula mengeluh dan meratap. Janganlah berbicara hal-hal yang buruk, agar engkau tidak mendengar hal itu dikatakan kepadamu, dan janganlah memperbesar-besarkan kesalahan-kesalahan orang lain agar kesalahanmu sendiri tidak kelihatan besar. Janganlah menginginkan kehinaan sesiapa, agar kehinaan dirimu sendiri tidak didedahkan. Maka jalanilah hari-hari kehidupanmu, yang kurang daripada sesaat yang sepintas lalu, dengan mindamu yang bersih, hatimu tak ternoda, pemikiranmu murni, dan perwatakanmu suci, agar, bebas dan berpuas hati, engkau dapat meninggalkan jasad fana ini, dan kembali ke syurga yang ghaib serta tinggal di dalam kerajaan abadi untuk selama-lamanya.

45

SAYANG! SAYANG SEKALI! WAHAI PENCINTA NAFSU DUNIAWI!

Seperti sepantas kilat engkau telah melewati Sang Kekasih, dan telah menetapkan hatimu pada bayangan-bayangan syaitan. Engkau bersujud di hadapan khayalanmu yang sia-sia, dan menganggapnya kebenaran. Engkau memalingkan matamu ke arah duri, dan menganggapnya sekuntum bunga. Tidak ada sehembus nafas suci yang engkau telah hembuskan, mahupun sebarang bayu ketakterikatan telah ditiupkan dari padang rumput kalbumu. Engkau telah mencampakkan nasihat-nasihat cinta Sang Kekasih kepada angin dan telah memadamkan semuanya dari lubuk hatimu, dan bahkan seperti binatang-binatang buas di ladang, engkau bergerak dan menetap di padang rumput keberahian dan hawa nafsu.

46

WAHAI SAUDARA-SAUDARA DI JALAN!

Mengapakah engkau telah mengabaikan peringatan kepada Sang Kekasih, dan menjauhkan dirimu daripada hadirat suci-Nya? Intisari keindahan adalah di dalam pentas yang tiada taranya, yang didirikan di atas singgahsana kemuliaan, sedangkan engkau menyibukkan dirimu dengan perdebatan yang sia-sia. Keharuman suci sedang dihembuskan dan nafas rahmat sedang ditiupkan, namun engkau semua sedang teramat terseksa dan kehilangan keharuman itu. Sayang sekali bagimu dan mereka yang berjalan di jalanmu dan mengikuti jejak langkahmu!

47

WAHAI ANAK-ANAK NAFSU!

Singkirkanlah jubah kemegahan, dan tanggalkanlah pakaian keangkuhan daripada dirimu.

48

Dalam Loh Delima pada baris ketiga daripada ayat-ayat yang paling suci yang telah ditulis dan dicatatkan oleh pena yang ghaib, berikut telah dinyatakan:

WAHAI SAUDARA-SAUDARA!

Bersabarlah dengan satu sama lain dan janganlah menaruh kasih sayangmu pada hal-hal yang rendah. Janganlah berasa megah atas kemuliaanmu, dan janganlah berasa malu akan kehinaan. Demi keindahan-Ku! Aku telah menciptakan segala benda daripada debu, dan kepada debu akan Daku kembalikan mereka.

49

WAHAI ANAK-ANAK DEBU!

Ceritakanlah kepada orang-orang kaya tentang keluh-kesah mereka yang miskin, agar ketidakpedulian tidak membawa mereka ke jalan pembinasaan, dan merampas daripada mereka Pohon Kekayaan. Memberi dan bersikap dermawan adalah sifat-sifat-Ku; beruntunglah dia yang menghiasi dirinya dengan sifat-sifat murni-Ku.

50

WAHAI SARIPATI HAWA NAFSU!

Singkirkanlah semua ketamakan dan carilah kepuasan hati; kerana orang tamak akan sentiasa rugi; dan orang yang berpuas hati akan sentiasa disayangi dan dipuji.

51

WAHAI PUTERA DAYANGKU!

Janganlah bersusah hati dalam kemiskinan mahupun berasa yakin dalam kekayaan; kerana kemiskinan akan diikuti kekayaan, dan kekayaan akan disusuli kemiskinan. Namun untuk menjadi miskin dalam segala benda kecuali Tuhan adalah satu anugerah yang menakjubkan, janganlah memperkecilkan nilainya, kerana akhirnya ia akan menjadikanmu kaya dalam Tuhan, dan demikian engkau akan mengetahui erti ucapan ini, “Sesungguhnya engkau miskin,” dan kalimat suci ini, “Tuhan adalah segala memiliki,” akan seperti pagi sejati yang menyinsing bersemarak dengan cemerlang di atas ufuk kalbu para kekasih, dan menetap dengan selamatnya pada takhta kekayaan.

52

WAHAI ANAK-ANAK KELALAIAN DAN HAWA NAFSU!

Engkau telah membiarkan musuh-Ku memasuki rumah-Ku dan telah mengusir sahabat-Ku, kerana engkau telah menaruh cinta pada yang lain melainkan Daku di dalam hatimu. Dengarkanlah kata-kata Sang Sahabat dan berpalinglah ke arah syurga-Nya. Sahabat-sahabat duniawi, demi mencari keuntungannya sendiri, kelihatan seperti mencintai satu sama lain, sedangkan Sahabat sejati telahpun dan akan selalu mencintai dirimu demi kepentingan dirimu sendiri; sesungguhnya Dia telah menanggung penderitaan yang tak terkira demi membimbingmu. Janganlah bersikap tidak setia kepada Sahabat seperti ini, tetapi bersegeralah kepada-Nya. Demikianlah suria kalimat kebenaran dan keimanan, yang telah terbit di atas ufuk pena Tuhan segala nama. Pasangkanlah telinga agar engkau dapat mendengarkan kalimat Tuhan, Penolong dalam bahaya, Yang Wujud Sendiri.

53

WAHAI ENGKAU YANG MEMBANGGAKAN DIRI ATAS KEKAYAAN FANA!

Ketahuilah engkau sebenarnya kekayaan adalah halangan yang amat besar antara seorang pencari dan hasratnya, antara seorang pencinta dan kekasihnya. Orang-orang kaya tidak akan dapat mencapai singgahsana hadirat-Nya mahupun memasuki kota kepuasan hati dan tawakal, kecuali hanya segelintir sahaja. Beruntunglah dia yang meskipun kaya, tidak dihalang daripada kerajaan abadi oleh kekayaannya, tidak pula dirampas daripadanya kedaulatan yang abadi. Demi Nama Yang Teragung! Kecemerlangan orang kaya yang sedemikian akan menerangi penghuni-penghuni syurga, sepertimana suria menerangi para penghuni di bumi!

54

WAHAI ENGKAU YANG KAYA DI BUMI!

Orang miskin dalam kalanganmu adalah amanah-Ku; lindungilah engkau amanah-Ku, dan janganlah hanya asyik dengan kesenanganmu sendiri.

55

WAHAI PUTERA HAWA NAFSU!

Bersihkanlah dirimu daripada kotoran kekayaan dan dalam keamanan yang sempurna masuklah ke dalam alam kemiskinan; agar daripada sumber ketakterikatan engkau dapat meminum wain kehidupan abadi.

56

WAHAI PUTERAKU!

Berkawan dengan orang yang tak beriman akan menambahkan kesedihan, sedangkan persahabatan dengan orang yang salih akan membersihkan hati daripada karat. Dia yang menginginkan perbualan dengan Tuhan, biarlah dia pergi mencari persahabatan dengan orang-orang kesayangan-Nya; dan dia yang berhasrat untuk mendengar kalimat Tuhan, biarlah dia memasangkan telinga pada kata-kata orang-orang terpilih-Nya.

57

WAHAI PUTERA DEBU!

Berwaspadalah! Jangan berjalan dengan orang-orang yang tak beriman dan janganlah bersahabat dengannya, kerana pergaulan sedemikian akan mengubah cahaya hati kepada api neraka.

58

WAHAI PUTERA DAYANGKU!

Jika engkau mencari rahmat Roh Suci, bersahabatlah dengan mereka yang salih, kerana dia telah meminum daripada cawan kehidupan abadi dari tangan Pembawa Cawan yang kekal abadi dan seperti pagi yang sejati telah membangkitkan dan menerangi kalbu-kalbu mereka yang telah mati.

59

WAHAI ORANG-ORANG YANG LALAI!

Janganlah menganggap bahawa rahsia-rahsia hati itu tersembunyi, tidak, ketahuilah engkau dengan kepastian bahawa dalam huruf-huruf yang jelas rahsia-rahsia itu telah terukir dan diperlihatkan dengan jelas di Hadirat suci.

60

WAHAI PARA SAHABAT!

Sesungguhnya Aku mengatakan, apa sahaja yang telah engkau rahsiakan dalam hatimu adalah terbuka dan jelas kelihatan bagaikan siang hari bagi Kami; namun ia masih dirahsiakan adalah kerana rahmat dan kurnia Kami, dan bukannya kerana engkau patut menerimanya.

61

WAHAI PUTERA MANUSIA!

Setitis embun dari samudera rahmat-Mu yang amat dalam telah Aku curahkan ke atas penghuni di dunia, namun tidak ada seorangpun yang berpaling kepadanya, kerana setiap orang telah berpaling daripada wain kesatuan syurgawi ke arah hampas kotoran yang busuk, dan, berpuas hati dengan cawan fana, telah menyingkirkan mangkuk keindahan abadi. Sungguh hina apa yang memuaskan hatinya itu.

62

WAHAI PUTERA DEBU!

Janganlah memalingkan matamu daripada wain yang tiada bandingan Sang Kekasih yang abadi, dan janganlah membuka matamu ke arah hampas yang busuk dan fana. Ambillah cawan kehidupan abadi dari tangan Pembawa Cawan ketuhanan, agar semua kearifan menjadi milikmu, dan agar engkau dapat mendengar pada suara mistik memanggil dari alam ghaib. Nangislah sekuatnya, engkau yang bertujuan rendah! Mengapakah engkau telah berpaling daripada wain suci dan abadi-Ku ke arah air fana?

63

WAHAI ENGKAU PENGHUNI DUNIA!

Sesungguhnya ketahuilah, bahawa satu malapetaka yang tak diduga akan mengikutimu, dan hukuman berat sedang menantikanmu. Janganlah menyangka bahawa perbuatan-perbuatan yang telah engkau lakukan telah dipadamkan daripada pandangan-Ku. Demi keindahan-Ku! Segala perbuatanmu telah diukirkan oleh pena-Ku dengan huruf-huruf terbuka pada loh-loh krisolit.

64

WAHAI PARA PENINDAS DI BUMI!

Hentikanlah tanganmu daripada kezaliman, kerana Aku telah berjanji kepada Diri-Ku Sendiri untuk tidak mengampuni sebarang ketidakadilan daripada sesiapapun. Inilah waadat-Ku yang telah Aku tetapkan secara muktamad dalam loh yang dipelihara dan dimeteraikan dengan mohor kemuliaan-Ku.

65

WAHAI ORANG-ORANG DERHAKA!

Kesabaran-Ku telah memberanikanmu dan penderitaan panjang-Ku telah menjadikanmu lalai, sehinggakan engkau telah memacukan kuda hawa nafsu yang berapi ke jalan-jalan yang menuju ke arah kebinasaan. Adakah engkau menyangka bahawa Aku alpa atau Aku tidak menyedarinya?

66

WAHAI PARA PERANTAU!

Lidah telah Aku ciptakan untuk menyebut nama-Ku, janganlah mengotorinya dengan kritikan. Jika api keakuan mengawal dirimu, ingatlah kesalahanmu sendiri dan bukannya kesalahan makhluk-makhluk-Ku, kerana setiap orang mengenali dirinya sendiri lebih daripada dia mengenali orang lain.

67

WAHAI ANAK-ANAK KHAYALAN!

Sesungguhnya ketahuilah, bahawa ketika fajar cemerlang menyinsing di atas ufuk kesucian abadi, rahsia-rahsia dan perbuatan-perbuatan syaitan yang dilakukan pada kekelaman malam akan didedahkan dan diperlihatkan di hadapan seluruh penghuni dunia.

68

WAHAI LALANG YANG TUMBUH DARI TANAH!

Mengapakah tanganmu yang kotor tidak menyentuh pakaianmu terlebih dahulu, dan mengapakah dengan hatimu yang dinodai dengan nafsu dan berahi engkau cuba berhubung dengan-Ku dan memasuki alam-Ku yang suci? Jauh, jauhnya engkau daripada apa yang engkau hasratkan itu.

69

WAHAI ANAK-ANAK ADAM!

Kata-kata suci dan perbuatan-perbuatan murni dan baik naik ke langit kemuliaan syurgawi. Berusahalah agar perbuatanmu dapat dibersihkan daripada debu keakuan dan kemunafikan serta mencari rahmat di istana kemuliaan; kerana tidak lama lagi para penguji umat manusia, dalam hadirat suci Dia Yang Dipuja, tidak akan menerima apapun kecuali sifat-sifat murni yang sempurna dan perbuatan-perbuatan suci yang tak ternoda. Inilah suria kearifan dan misteri ketuhanan yang telah bersinar di atas ufuk kehendak ketuhanan. Diberkatilah mereka yang berpaling kepadanya.

70

WAHAI PUTERA DUNIAWI!

Alangkah menyenangkan alam kewujudan itu, jikalau engkau mencapainya; alangkah mulianya kerajaan keabadian, seandainya engkau melewati dunia fana; alangkah manisnya kegembiraan suci jika engkau meminum dari cawan ghaib daripada tangan Pemuda syurgawi itu. Seandainya engkau mencapai kedudukan ini, engkau akan dibebaskan daripada kemusnahan dan kematian, daripada kesukaran dan dosa.

71

WAHAI SAHABAT-SAHABATKU!

Ingatilah engkau waadat yang engkau telah berjanji dengan-Ku di atas Gunung Párán, yang terletak di wilayah-wilayah suci Zamán. Aku telah menjadikan para angkatan di atas dan penghuni-penghuni kota keabadian sebagai saksi, namun Aku tidak mendapati sesiapapun setia kepada waadat. Tanpa diragukan lagi keangkuhan dan penderhakaan telah memadamkannya daripada kalbu-kalbu, sehinggakan tiada sebarangpun kesan yang tertinggal. Meskipun mengetahui hal ini, Aku telah menunggu dan tidak mendedahkannya.

72

WAHAI HAMBAKU!

Engkau laksana sebilah pedang waja yang tajam yang disembunyikan dalam kegelapan sarung dan nilainya tersembunyi daripada pengetahuan tukangnya. Maka keluarlah dari sarung keakuan dan hawa nafsu agar nilai dirimu dapat ditonjolkan dengan gemilang dan ternyata kepada seluruh dunia.

73

WAHAI SAHABATKU!

Engkau adalah suria syurga kesucian-Ku, janganlah biarkan kekotoran dunia menutupi cahayamu. Koyak-rabikkanlah tabir ketidakpedulian, agar dari sebalik awan-awan engkau dapat terbit dengan gemilang dan menghiasi segala benda dengan pakaian kehidupan.

74

WAHAI ANAK-ANAK KEMEGAHAN!

Demi kedaulatan yang cepat berlalu engkau telah meninggalkan kerajaan-Ku yang kekal, dan telah menghiasi dirimu dengan pakaian dunia yang terang dan berlagak dengannya. Demi keindahan-Ku! Semuanya akan Daku himpunkan di bawah naungan debu satu warna dan memadamkan semua warna yang pelbagai ini kecuali mereka yang memilih warna-Ku sendiri, iaitu yang dibersihkan daripada setiap warna.

75

WAHAI ANAK-ANAK KELALAIAN!

Janganlah menaruh kasih sayangmu kepada kedaulatan yang fana dan janganlah bergembira dalamnya. Engkau laksana burung lalai yang dengan penuh keyakinan sedang menyanyi di atas dahan; sehingga secara tiba-tiba pemburu Maut menjatuhkannya ke atas debu, dan melodinya, bentuknya, dan warnanya akan musnah, tidak meninggalkan sebarang kesan. Oleh sebab itu, berwaspadalah, wahai hamba abdi kepada hawa nafsu!

76

WAHAI PUTERA DAYANGKU!

Bimbingan telah sentiasa diberikan melalui kata-kata, dan kini ia diberikan melalui perlakuan. Setiap orang mesti menunjukkan perlakuan yang murni dan suci, kerana kata-kata adalah milik semua manusia, sedangkan perlakuan-perlakuan murni dan suci hanyalah dimiliki orang-orang kesayangan Kami. Maka berusahalah dengan hati dan jiwa untuk membezakan dirimu melalui perlakuan-perlakuanmu. Demikianlah nasihat Kami kepadamu dalam loh yang suci dan gemilang ini.

77

WAHAI PUTERA KEADILAN!

Pada waktu malam, keindahan Wujud abadi telah kembali dari ketinggian zamrud kesetiaan ke Sadratu’l-Muntahá, dan meratap dengan tangisan yang memilukan sehinggakan angkatan syurgawi dan para penghuni alam tinggi juga meratap pada rungutan-Nya. Setelah itu ditanya, Mengapakah ratapan dan tangisan itu? Dia menjawab: Seperti mana diperintahkan, Aku menunggu dengan penuh harapan di atas bukit kesetiaan, namun tidak dapat menghidu keharuman kesetiaan daripada mereka yang tinggal di bumi. Ketika dipanggil untuk kembali, nah! Aku ternampak beberapa merpati kesucian sedang menderita dalam cengkaman kuku anjing-anjing bumi. Ketika itu Bidadari syurga bergegas keluar dari istana ghaib-Nya tanpa bertabir dan gilang-gemilang, dan menanyakan nama-nama mereka, kemudian semua nama telah disebut kecuali satu. Dan ketika didesak, huruf pertama nama itu diucapkan, lalu para penghuni kamar-kamar syurgawi bergegas keluar dari kediaman kemuliaan mereka. Dan apabila huruf kedua telah diumumkan, setiap satu daripada mereka jatuh ke tanah. Pada masa itu terdengarlah satu suara dari makam yang terdalam: “Cukuplah setakat ini dan jangan diteruskan.” Sesungguhnya Kami naik saksi kepada apa yang telah mereka lakukan dan sedang lakukan.

78

WAHAI PUTERA DAYANGKU!

Minumlah dari lidah sang penyayang pancuran air misteri ketuhanan, dan saksikanlah kegemilangan suria kearifan yang tak bertabir dari tempat terbit ucapan ketuhanan. Semaikanlah benih-benih kearifan ketuhanan-Ku di dalam tanah bersih hati, dan siramkanlah mereka dengan air keyakinan, sehingga bunga lembayung pengetahuan dan kearifan dapat tumbuh segar dan menghijau dari kota suci hati.

79

WAHAI PUTERA HAWA NAFSU!

Berapa lamakah engkau akan terbang di alam-alam hawa nafsu? Aku telah mengurniakan engkau sayap, agar engkau dapat terbang ke alam-alam kesucian yang ghaib dan bukan ke tempat-tempat khayalan syaitan. Aku juga telah memberikan kepadamu sikat agar engkau dapat menyikat rambut hitam-Ku, dan bukan mengoyakkan kerongkong-Ku.

80

WAHAI HAMBA-HAMBAKU!

Engkau adalah pohon-pohon kebun-Ku; engkau harus menghasilkan buah-buahan yang baik dan menakjubkan, agar engkau sendiri dan orang lain mendapat manfaat daripadanya. Maka adalah diwajibkan bagi setiap orang untuk menceburi dalam pertukangan dan pekerjaan, kerana di dalamnya terletak rahsia kekayaan, Wahai manusia yang berpengertian! Kerana hasil bergantung kepada usaha, dan rahmat Tuhan akan serba mencukupi bagimu. Pohon-pohon yang tidak memberikan hasil telahpun dan akan selama-lamanya menjadi makanan api.

81

WAHAI HAMBAKU!

Orang yang paling hina adalah mereka yang tidak membuahkan hasil di bumi. Orang seperti itu sesungguhnya dianggap mereka yang telah mati, tidak, dalam pandangan Tuhan, mereka yang telah mati sebenarnya lebih baik daripada jiwa-jiwa yang malas dan tidak berguna itu.

82

WAHAI HAMBAKU!

Orang-orang yang terbaik adalah mereka yang mencari nafkah melalui pekerjaan mereka dan membelanjakannya untuk diri mereka sendiri dan untuk sanak-saudara mereka demi cinta kepada Tuhan, Raja alam semesta.

Pengantin perempuan yang ghaib dan menakjubkan, yang sebelum ini tersembunyi di sebalik tabir ucapan, dengan kurnia Tuhan dan rahmat ketuhanan-Nya, kini telah menjadi nyata bagaikan cahaya cemerlang yang disinari oleh keindahan Sang Kekasih. Aku naik saksi, Wahai para sahabat! Bahawa rahmat itu telah lengkap, hujah-hujah telah ditunaikan, bukti-bukti didedahkan dan tanda-tanda ditetapkan. Sekarang akan terlihat apa yang akan ditonjolkan oleh usaha-usahamu di jalan ketakterikatan. Dengan demikian rahmat ketuhanan telah dicurahkan sepenuhnya kepadamu dan kepada mereka yang ada di syurga dan di bumi. Segala pujian bagi Tuhan, Raja alam semesta.

Bahá'u'lláh

Windows / Mac